Thursday, April 16, 2009

Utusan Malaysia 16/Apr/09

KUALA LUMPUR 16 April - Kementerian Pelancongan akan membatalkan lesen agensi pelancongan yang didapati memaksa pekerja wanita dan lelaki mereka berkongsi bilik ketika menjalankan tugas luar mulai 1 Jun ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pekerja wanita dalam industri pelancongan khususnya pemandu pelancong dapat menjalankan tugas mereka dalam keadaan selamat.

"Kes pemandu pelancong wanita dipaksa tinggal sebilik dengan rakan sekerja lelaki telah dibangkitkan oleh Persatuan Pemandu Pelancong Wanita Malaysia (MWTGA) kepada kami baru-baru ini.

"Kami memandang serius perkara ini dan polisi membatalkan lesen agensi pelancongan dibuat selepas mengambil kira pandangan pihak-pihak yang terlibat dalam industri pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan MWTGA, Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Majlis Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA) di sini hari ini.
Yen Yen berkata, pihaknya tiada pilihan selain menguatkuasakan polisi berkenaan untuk memastikan agensi pelancongan di negara ini menghormati dan menjaga kebajikan pemandu pelancong wanita mereka.

"Kami boleh mengeluarkan surat amaran kepada agensi pelancongan sehingga 10 kali sekalipun jika mereka didapati memaksa pemandu pelancong wanita berkongsi bilik dengan rakan sekerja lelaki.

"Namun, apa faedahnya jika agensi pelancongan terbabit tidak mempedulikan amaran tersebut dan bertindak membuang surat amaran yang mereka terima ke dalam tong sampah?" katanya.
Menurut Yen Yen, pengusaha agensi pelancongan yang telah dibatalkan lesen boleh mengemukakan permohonan baru kepada pihak berkuasa jika mereka ingin meneruskan perniagaan sama pada masa hadapan.

Tambah beliau, pihaknya telah memohon kerjasama daripada MAH dan MBHA supaya para pengendali hotel di negara ini dapat menyediakan bilik khas atau asrama untuk pemandu pelancong wanita.

"Kami juga akan mencadangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyenaraikan pembinaan bilik khas untuk pemandu pelancong wanita sebagai syarat untuk meluluskan permohonan pembinaan hotel di negara ini," ujarnya.

Yen Yen berkata, beliau akan membawa polisi pembatalan lesen agensi pelancongan tersebut untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Menurutnya, pemandu pelancong wanita yang dipaksa berkongsi bilik dengan rakan sekerja lelaki ketika menjalankan tugas perlu tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa dengan mengemukakan bukti yang kukuh.

"Kes sedemikian tidak boleh dibiarkan berlaku lagi pada masa akan datang kerana ia akan menjejaskan sektor perkhidmatan di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment